suria

KPN Serah Isu Saman RM150 Juta Kepada Proses Perundangan Negara

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menyerahkan isu saman RM150 juta oleh adinda Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry terhadap beliau dan tiga lagi kepada proses perundangan negara.

"Ini proses perundangan negara kita, jadi saya menghormati pendirian yang dibuat oleh Tengku (Muhammad Fakhry). Saya akan biarkan perkara ini mengikut proses perundangan negara kita," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Tengku Muhammad Fakhry memfailkan saman terhadap Ismail dan tiga yang lain berhubung penahanan baginda, yang didakwa dilakukan secara salah pada Ogos 2009.

Dalam writ saman itu, yang difail menerusi Tetuan A S Dhaliwal di Mahkamah Tinggi, Tengku Muhammad Fakhry menamakan Ismail, Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan ASP Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.

Penyataan tuntutan Tengku Muhammad Fakhry mendakwa baginda telah ditahan secara salah pada 30 Ogos 2009 di pekarangan Istana Mahkota Kubang Kerian ketika memandu kereta jenis Bentley Brooklands.

Terdahulu, Ismail menutup Kejohanan Sukan Empat Penjuru (SUKEP) 2011 kali ketiga yang diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara jabatan serta memperkukuh kerjasama.

Seramai 240 penjawat awam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik mengambil bahagian dalam kejohanan itu sejak Jumaat lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain