suria

Keputusan Kerjasama Dalam Tempoh Tiga Bulan:Prasarana

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada pengendali bas henti-henti terbesar Malaysia, Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana), untuk menjalin kerjasama strategik dengan dua pengusaha bas awam bagi meningkatkan perkhidmatan bas awam di Lembah Klang akan diketahui dalam tempoh tiga bulan.

Syarikat bas awam yang terlibat di dalam perbincangan adalah Setara Jaya Sdn Bhd, yang menjalankan operasi "SJ Bus" dan Syarikat Len Seng Sdn Bhd yang menjalankan operasi "Bas Len Seng".

"Mekanisme yang lebih terperinci masih dibincangkan antara Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (Rapid KL) dan pengusaha bas yang lain," kata Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Shahril Mokhtar kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian bersama dengan kesatuan pekerja-pekerja Rapid KL di sini.

Rapid KL adalah anak syarikat Prasarana. Adalah dilaporkan sebelum ini bahawa kerjasama yang ditinjau oleh pihak yang terlibat adalah dari segi operasi dan perniagaan.

Dari segi operasi, ia akan melibatkan penjadualan dan jadual waktu bersama, perkongsian infrastruktur dan tenaga kerja, waktu operasi seragam bagi laluan berkepadatan tinggi dan rendah, struktur tambang standard, prosedur operasi standard dan pertukaran pengetahuan industri.

Dari segi kerjasama perniagaan pula, mereka berhasrat untuk bekerjasama rapat dalam bidang pajakan bas, integrasi sistem tiket, perkongsian laluan, penyelenggaraan bas dan penglibatan perkongsian dengan orang ramai.

Shahril berkata ia belum boleh mengulas mengenai kos operasi hasil dari kerjasama itu kerana kerana proses penilaian masih di peringkat perbincangan.

Namun, beliau berkata segala kos termasuk kos operasi dan kos penyelenggaraan akan berkurangan.

Shahril berkata Prasarana akan turut berbincang dengan syarikat-syarikat bas yang lain sekiranya hasil perbincangan itu menunjukkan perkembangan yang positif.

Menjawab pertanyaan sama ada Prasarana ingin menjalin kerjasama serupa dengan Konsortium Transnasional Bhd, beliau berkata, mereka tidak beroperasi di laluan yang sama, namun tidak menjadi masalah sekiranya kedua-dua syarikat mahu bekerjasama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain