suria

Kekal Atau Gugur Bukan Penentu Tinggalkan PAS:Hasan Ali

PETALING JAYA: Persoalan sama ada kekal atau digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) akan datang bukanlah penentu untuk meninggalkan PAS.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Hasan Ali berkata, jika menghadapi masalah dalaman parti, tindakan meninggalkan PAS tidak semudah itu.

Portal berita Malaysiakini.com memetik Hasan dalam sidang media di kediamannya hari ini sebagai berkata, beliau akan terus bekerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat selagi mereka mempertahankan prinsip Islam, hak Melayu dan institusi raja.

Menurut Hasan, sekiranya mahu keluar parti, beliau harus mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan, mufti dan veteran politik terlebih dahulu.

Bagaimanapun, jika terdapat mana-mana organisasi tidak lagi menyokong tiga prinsip itu, beliau akan mempertimbangkan tindakan tersebut.

Mengulas dakwaan bahawa beliau tidak mendapat cukup pencalonan untuk mempertahankan kerusi Gombak Setia yang disandangnya, Hasan berkata, ia hanya perkara kecil kerana "perjuangan untuk Islam lebih besar".

"Isu pencalonan itu kecil, berbanding perjuangan saya untuk Islam, jadi pada saya ia tidak penting.

"Saya terima (pencalonan) di atas nama akidah... dan pergerakan yang bukan didukung oleh parti politik, disokong oleh NGO dan bertujuan untuk memberitahu orang Islam akan mengancam akidah mereka.

"Saya ada hati kecil di sini, anda juga ada hati kecil disini, sesiapa saja akan terasa perkara sebegitu," katanya.

Menurut Hasan, beliau tidak suka melabelkan gerakan menentang beliau sebagai satu konspirasi.

Namun, beliau tidak menafikan berlaku halangan baik dari pihak dalaman mahupun luar berhubung kerja-kerja yang dilakukannya.

"Kadang-kadang kita terima halangan dari luar, kadang-kadang dari dalam... saya tidak suka gunakan perkataan konspirasi, tetapi mungkin ada gerakan untuk menahan kemaraan Dr Hasan?" katanya.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan dakwaan kemungkinan Hasan digugurkan sebagai calon pada pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.

Abdul Hadi berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana pihaknya masih belum berbincang mengenai soal calon untuk mewakili parti pada PRU-13.

"Soal calon hanya boleh disahkan selepas proses penamaan calon diadakan memandangkan tiada siapa yang tahu bila PRU-13 akan diadakan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain