suria

Kastam Sabah Berjaya Tumpaskan Cubaan Seludup Dadah Di KKIA

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan cubaan menyeludup dadah bernilai RM132,483 yang dibawa masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Jumaat lepas.

Pemangku Pengarah Kastam Negeri Sabah Dr Janathan Kandok berkata dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berumur 26 dan 24 tahun yang berasal dari Pulau Pinang ditahan kerana disyaki membawa dadah itu.

Kedua-dua suspek berkenaan ditahan sebaik sahaja tiba di KKIA dengan menaiki pesawat MH385 dari Hong Kong sambil membawa dua beg pakaian, pada Jumaat pukul 7 malam, katanya.

"Apabila pemeriksaan dibuat, pihak kastam menemui beberapa bungkus hablur, yang dipercayai dadah jenis ketamin seberat lebih kurang 10 kilogram (kg), tersimpan di ruang tersembungi di dalam beg, milik kedua-dua suspek," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Katanya kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Janathan berkata sepanjang tempoh antara 2005 dan tahun ini, pihaknya merampas 54.67 kg dadah pelbagai jenis melibatkan 17 kes dengan nilai pasaran sebanyak RM3.6 juta, dan menahan 14 orang termasuk dua wanita yang disyaki terbabit dalam kes itu.

Daripada 17 kes itu, lapan kes dikesan di KKIA, sekaligus menunjukkan terdapat kecenderungan penyeludup dadah menggunakan KKIA sebagai tempat persinggahan sebelum dadah yang diseludup itu diedarkan di negara ini, katanya.

Sehubungan itu, katanya JKDM menasihati orang ramai terutamanya penumpang yang berulang alik ke luar negara supaya lebih berhati-hati dengan aktiviti penyeludupan kerana terdapat kes yang menyaksikan orang yang ditangkap merupakan keldai dadah antarabangsa.

Sepanjang tempoh itu juga, sekurang-kurangnya empat orang penyeludup dadah telah dihukum mati di bawah akta dadah sedia ada, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain