suria

Iskandar Malaysia Tawar 800,000 Pekerjaan Sehingga 2025

JOHOR BAHARU: Iskandar Malaysia yang sehingga kini menerima pelaburan hampir RM78 bilion mampu menyediakan 800,000 peluang pekerjaan sehingga tahun 2025, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Teknologi Negeri M.Asojan.

Katanya sejak Iskandar Malaysia dilancarkan pada akhir 2006, lebih daripada 50,000 peluang pekerjaan melibatkan pelbagai sektor industri telah diwujudkan di koridor pembangunan terbabit.

"Kita menjangkakan sebanyak 800,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan di Iskandar Malaysia sepanjang tempoh pembangunan koridor itu dari akhir 2006 hingga pada tahun 2025," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor (Puspatri) di sini Isnin.

Asojan berkata pelaburan-pelaburan yang dicatat oleh Iskandar Malaysia bukan sesuatu yang berada di awang-awangan tetapi adalah sesuatu yang realistik dan boleh dilihat.

Sebagai contoh, katanya, Johor Premium Outlets (JPO) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, juga memerlukan pekerja berikutan rancangannya untuk membesarkan lagi operasi.

Asojan berkata peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan daripada pembesaran JPO itu tidak termasuk perancangan jangka panjang untuk membina taman tema air, pusat konvensyen dan hotel 2,000 bilik.

"Bukan sahaja JPO yang bakal memerlukan pekerja tetapi begitu juga Taman Tema Legoland yang bakal dibuka pada akhir tahun depan serta pelbagai lagi pembangunan ikonik serta industri di Iskandar Malaysia," katanya.

Beliau meminta mereka yang berminat untuk bekerja di Iskandar Malaysia supaya mempersiapkan diri lebih awal dengan menimba latihan di 125 pusat latihan pekerja yang terdapat di Johor.

Pada majlis konvokensyen hari ini, 353 menamatkan Program Peningkatan Kemahiran Siswazah manakala 146 pelajar menamatkan Program Sijil Kemahiran Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain