suria

Ghapur Pula Gesa Shahrizat Lepas Jawatan

TAWAU: Seorang lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) pada Ahad menggesa Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya melepaskan jawatan parti dan kerajaan yang disandanganya berikutan kontroversi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC). Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata Shahrizat perlu berbuat demikian demi kepentingan B Ndan Umno, salah sebuah parti komponen, yang bakal berdepan pilihan raya umum ke-13.

"Ini adalah isu paling besar yang berlaku dalam sejarah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia cukup memalukan dan kita tidak mahu isu ini menjejaskan BN dan Umno. Kalau isu ini sampai pada waktu pilihan raya, saya rasa undi kita akan kurang," katanya.

Ghapur diminta mengulas mengenai isu itu selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai kanak-kanak kawasan Dewan Undangan Negeri Merotai di Kg Pasir Putih, di sini. Ditanya jika Shahrizat masih mendapat sokongan Pergerakan Wanita Umno, Ghapur berkata, "Ini bukan soal sokong-menyokong tetapi ini soal keseluruhan parti. Bila kita buat salah, kita mesti bertanggungjawab".

Menurut Ghapur di negara maju seperti Amerika Syarikat jika sesuatu isu atau skandal menimpa seseorang pemimpin, pemimpin yang terlibat akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

"Kita juga perlu tahu bahawa bukan pembangkang yang bongkar isu ini tetapi ia didedahkan oleh Ketua Audit Negara," tambah Ghapur. Mengenai wang bantuan persekolahan, Ghapur meminta ibu bapa supaya melaporkan kepadanya sekiranya terdapat pihak sekolah di kawasannya yang memotong wang bantuan itu untuk pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yuran buku dan sebagainya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain