suria

Polis Kelantan Tingkat Kerjasama Dengan Polis Thailand Kawal Sempadan Perairan

TUMPAT: Polis Kelantan sedang meningkatkan kerjasama dengan polis Thailand bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah terutama di kawasan sempadan perairan sama ada sungai atau laut, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau berkata walaupun kadar jenayah di kawasan sempadan perairan Kelantan-Thailand tidak tinggi, namun langkah berjaga-jaga sentiasa diambil.

Kerjasama sedemikian turut dilakukan dengan bantuan masyarakat setempat di bawah konsep Kepolisan Masyarakat (Community Policing), katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "Community Policing" di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 3 di Pengkalan Kubur di sini Sabtu.

"Langkah ini merupakan satu pendekatan bagi merapatkan hubungan antara masyarakat yang tinggal di kawasan perairan pantai dan sungai dengan anggota pasukan PGM bagi mencegah kegiatan penyeludupan barangan, dadah, pemerdagangan manusia, pencerobohan bot nelayan asing dan sebagainya," katanya.

Jalaluddin juga berkata sejak Program Rakan Cop diperkenalkan pada 2005, seramai 363,974 anggota masyarakat di seluruh negara termasuk 19,403 orang di Kelantan telah menyertainya.

"Penambahan ini telah meningkatkan keupayaan mata dan telinga polis Kelantan untuk memperolehi maklumat tepat dan cepat bagi membolehkan polis bertindak dengan lebih pantas," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain