suria

LIMA 2013 Diadakan Pada Mac:Ahmad Zahid

LANGKAWI: Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-12 pada 2013 akan diadakan pada Mac berbanding Disember pada 11 LIMA yang diadakan sejak 1991 hingga tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata LIMA 2013 dijangka diadakan pada 26 hingga 30 Mac setelah mengambil kira permintaan pempamer.

"Ada empat faktor kerana kita ubah tarikh LIMA. Yang pertama bulan Disember terlalu rapat dengan perayaan Krismas...jadi mereka (kebanyakan pempamer) minta mereka dapat peluang untuk bercuti," katanya kepada pemberita di hari terakhir LIMA '11 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini Sabtu.

Beliau berkata selain itu, pada April diadakan pameran 'Defence Services Asia' (DSA) di Kuala Lumpur dan pempamer merasakan tempoh masa antara April dan Disember terlalu lama.

"Pada Disember juga, musim tengkujuh di kawasan kita. Bagaimanapun, pada LIMA kali ini juruperunding cuaca kita melakukan tugas dengan baik. Selain itu, bagi syarikat-syarikat pada akhir tahun bajet mereka telah dibelanjakan. Jika diadakan awal tahun bajet masih banyak," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pasukan profesional aerobatik kebangsaan, Krisakti yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lepas telah mula menerima permintaan untuk mengadakan persembahan.

Katanya pada Mac nanti, pasukan itu akan ada enam pesawat dan sehingga kini mereka telah mendapat lapan permintaan untuk membuat persembahan.

"Permintaan itu adalah dari Brunei, untuk Hari Angkatan Tentera, Hari Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara, selain sewaktu perlumbaan Formula 1, MotoGP dan Hari Kebangsaan," katanya. Katanya LIMA '11 mendapat kerjasama yang baik daripada hotel-hotel yang tidak lagi mengenakan pakej yang terlalu tinggi harganya berbanding LIMA sebelum ini selain sambutan baik daripada penduduk tempatan.

LIMA '11 selama lima hari bermula Selasa lepas. Ia melibatkan dua seksyen iaitu segmen udara yang diadakan di MIEC dan segmen maritim di Awana Porto Malai. - BERNAMA

Artikel Lain