suria

Umno Cabar DAP Letak Calon Melayu Di Kelantan

BACHOK: Badan Perhubungan Umno Kelantan mencabar DAP supaya turut meletak calonnya di kalangan orang Melayu untuk bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata selama ini yang berkuasa di kalangan pembangkang adalah DAP dan bukan PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kita setuju DAP bertanding di Kelantan biar rakyat Kelantan menilai nak (mahukan) DAP atau Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas menutup program memperkasakan ukhuwah di kalangan penduduk di Kampung Kubang Telaga, di sini, Sabtu.

Seramai 84 mahasiswa pengajian jarak jauh (PJJ) menyertai program anjuran Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Awang Adek berkata demikian sebagai mengulas cadangan DAP yang berhasrat untuk meletakkan calon Melayu bertanding di kawasan majoriti Melayu, pada pilihan raya umum ke-13.

Hasrat DAP itu disahkan Pesuruhjaya PAS III Selangor, Khalid Abdul Samad dengan mengakui cadangan DAP itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama PAS dan PKR.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata cadangan itu akan memperjelaskan dakwaan yang dibuat oleh Umno selama ini bahawa parti yang benar-benar berkuasa di kalangan pakatan pembangkang iaitu DAP.

Katanya cadangan itu juga membuktikan DAP ingin menguasai semua negeri dan berhasrat ingin memerintah negara ini dengan mengetepikan rakan-rakannya dalam pakatan itu.

"Kita ucapkan selamat datang dan bersedia menentangnya pada bila-bila masa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain