suria

Rais Tinjau Persiapan Terakhir Jamuan Negara Malam Ini

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Sabtu meninjau persiapan terakhir Jamuan Negara sempena tamat tempoh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Jalan Duta di sini.

Jamuan negara itu akan berlangsung malam ini di Balai Santapan. Rais berkata raptai penuh itu mengikut jadual seperti yang dirancang dengan setiap acara dari awal hingga akhir dilakukan sebaik mungkin.

Lebih 300 peserta daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara akan mengadakan persembahan pada jamuan yang akan menyajikan hidangan ala-barat.

"Jamuan negara ini merupakan penghormatan terbesar dan termulia untuk Tuanku Mizan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan kira-kira dua jam di sini.

Rais berkata lebih 600 tetamu akan menghadiri jamuan itu, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri besar dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Tuanku Mizan akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dan akan digantikan dengan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru. - BERNAMA

Artikel Lain