suria

Peruntukan Untuk 5.2 Juta Yang Layak Mencukupi

IPOH: Kerajaan yakin peruntukan RM2.6 bilion untuk 5.2 juta ketua isi rumah yang layak memohon program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah mencukupi, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Bagaimanapun beliau berkata sekiranya jumlah pemohon yang layak melebihi jumlah 5.2 juta, kerajaan sedia menambah peruntukan bagi memastikan kebajikan rakyat dijaga.

Menurutnya, jumlah isi rumah yang layak itu diperolehi daripada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan permohonan akan dirujuk semula antaranya melalui semakan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kerja memproses (permohonan) akan dibuat secepat mungkin secara dalam talian kerana mahukan sasaran awal mengagihkan bantuan ini dibuat pertengahan Januari 2012 mengikut jadual," katanya kepada pemberita selepas melancarkan BR1M di Dewan Komuniti 1Malaysia, Chemor dekat sini Sabtu.

Ahmad Husni berkata kumpulan sasaran terdiri mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 bagi satu isi rumah dengan ramai tanggungan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan anggota keluarga berdaftar di bawah program eKasih.

Beliau yang juga anggota Parlimen Tambun berkata pemberian bantuan dibuat bertujuan mengurangkan beban ketua isi rumah menampung kos kenaikan bahan makanan yang meningkat disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

LHDN, katanya, mempunyai rekod pendapatan individu yang telah mengisytiharkan jumlah pendapatan dan pemohon yang tidak layak boleh dikenal pasti serta merta.

Ahmad Husni berkata berdasarkan sasaran yang ditetapkan, kerajaan telah menyediakan borang pendaftaran percuma lebih daripada yang diperlukan untuk mereka yang ingin mendapatkan bantuan tersebut.

Katanya, format pembayaran belum diumumkan kerana di peringkat ini tumpuan adalah terhadap proses pendaftaran.

Pendaftaran bermula Sabtu sehingga 10 Januari 2012 dan sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi talian hotline BR1M 1-800-222-500. - BERNAMA

Artikel Lain