suria

Pelancaran Capital FM Dirai Penuh Glamor

KUALA LUMPUR: Stesen radio wanita pertama di negara ini dilancarkan dalam satu majlis penuh glamor dan meriah.

Selepas suara-suara deejaynya ke udara di corong radio sejak lebih seminggu yang lalu, Capital FM menganjurkan majlis penuh gilang-gemilang itu bagi meraikan pembukaan stesen radio tersebut.

Kira-kira 300 tetamu jemputan, kebanyakannya terdiri daripada personaliti wanita dari industri media, pengiklanan dan hiburan hadir memeriahkan majlis yang berlangsung di Lot 10.

Mereka berkumpul di Brand Theatre di sini untuk berkongsi kegembiraan dalam majlis pelancaran stesen radio terbaru khususnya untuk wanita di negara ini.

Turut hadir memeriahkan majlis itu adalah pereka kasut terkemuka, Jimmy Choo.

"Sebaik saja kami ke udara buat pertama kalinya pada 1 Disember, sokongan yang diterima begitu mengagumkan terutamanya di kalangan wanita," kata Ketua Pegawai Penyiaran Kumpulan Star Radio, C.K.Tan.

Menurutnya, dengan tertubuhnya Capital FM, konsep muzik yang ke udara nanti akan berbeza bersesuaian dengan rentak hiburan pilihan wanita.

Pelbagai aktiviti termasuk kaunter kecantikan, terapi kuku turut disediakan di luar perkarangan pusat membeli-belah di Bukit Bintang itu.

Capital FM merupakan stesen radio yang dimiliki Kumpulan The Star.

Stesen radio itu membariskan penyampai-penyampai popular dan ternama seperti Joanne Kam dan bekas pengacara Channel [V] VJ Joey G yang akan ke udara seawal 6 pagi sehingga 10 pagi dalam segmen Talk of The Town.

Selain itu, personaliti televisyen terkemuka, Asha Gill akan bersiaran dari pukul 10 pagi hingga 1 petang dalam segmen Eat, Love, Play sebelum konti diambil alih oleh Patricia K (My City/ 1 petang-4 petang).

Juara dua kali Anugerah Industri Muzik, Liang dan pengacara Xandria Ooi turut menemui peminat pada pukul 4 petang hingga 8 malam dalam segmen The Jam Break.

Peminat akan dihiburkan dengan muzik R&B oleh bekas ratu cantik, Sheela Karan sehingga tengah malam manakala bersantai di hujung minggu ditemani kelunakan suara, April Kuan.

Stesen itu bersiaran ke udara pada 1 Disember lalu menerusi frekuensi 88.9 di seluruh Lembah Klang, Bidor, Sungkai, Tanjong Malim, Kuala Lumpur, Klang, Petaling Jaya, Cyberjaya, Nilai dan sebahagian tempat di Seremban.

Hadir pada majlis pelancaran itu adalah wakil dari Star Publications termasuk Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan The Star, Datuk Vincent Lee, Pengarah Urusan Kumpulan The Star Publications, Ho Kay Tat dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Artikel Lain