suria

PDRM Di Landasan Tepat Pastikan Sasaran NKPI Tercapai

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di landasan yang tepat untuk memastikan lima sasaran Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) untuk mengurangkan jenayah untuk tahun ini dicapai.

Menyatakan demikian, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Mahmood Adam berkata, kementerian yakin dengan pencapaian itu dan ini terbukti berdasarkan pencapaian indeks terkini yang semakin menurun.

"Seperti yang dijanjikan kita akan memastikan Indeks Jenayah turun lima peratus setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Program Kembara Media KDN di sini Jumaat.

Sebelum itu dalam sesi taklimat pencapaian NKRA yang diadakan sempena program itu, Ketua Bahagian Implementasi NKRA Bukit Aman Supt Dennis Lim Kwang Keng berkata empat dari lima sasaran tersebut telahpun dicapai.

Ini, katanya, termasuk pengurangan indeks jenayah sebanyak 10.1 peratus yang direkodkan untuk tahun ini sehingga Oktober lalu berbanding tahun lepas, melebihi sasaran lima peratus yang ditetapkan.

Beliau berkata sehingga Oktober lalu juga, pengurangan jumlah jenayah jalanan juga berada pada tahap 40.6 peratus berbanding tahun lalu, melebihi sasaran 40 peratus manakala kadar pendakwaan dicatatkan sebanyak 23.6 peratus berbanding sasaran 20 peratus, untuk tempoh sama.

Kadar kebimbangan dalam menjadi mangsa jenayah juga menurun 48.9 peratus, berbanding sasaran 50 peratus, berdasarkan kajian pada Mei lalu, katanya.

Justeru, Lim berkata PDRM akan melipatgandakan usaha bagi memastikan satu lagi NKPI PDRM dapat dicapai iaitu bagi meningkatkan persepsi orang awam terhadap pencapaian polis.

Beliau berkata sasarannya ialah 60 peratus, manakala kajian pada Mei lalu menunjukkan ia berada pada tahap 55 peratus.

"Antara langkah yang dijalankan termasuk menyepadukan sistem laporan kemalangan dan siasatan jenayah bagi membolehkan kedua-dua laporan tersebut dilaporkan di mana-mana Balai Polis, berbanding masa ini di mana laporan kemalangan hanya boleh dibuat di Balai Polis Trafik dan laporan jenayah di Balai Polis biasa.

"Kita juga akan meletakkan lebih ramai anggota polis di tempat-tempat awam serta mengadakan lebih banyak sesi bersama pelanggan bagi memudahkan orang ramai membuat sebarang aduan mengenai perkhidmatan polis," katanya.

Program Kembara Media itu selama tiga hari bermula semalam bertujuan mempromosi penurunan indeks kadar jenayah dan aktiviti penguatkuasaan agensi-agensi terlibat. - BERNAMA

Artikel Lain