suria

Orang Muda Semakin Beri Sokongan Kepada PM, Kerajaan Pusat

SERDANG: Golongan muda dilihat semakin memberi sokongan kepada kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Katanya, peralihan sokongan ini berdasarkan kajian rambang yang dijalankan mengenainya.

Beliau berkata inisiatif kerajaan termasuk menyediakan kemudahan pendidikan serta usaha mencari pelabur asing sekaligus memperbaiki kedudukan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan di negara ini berjaya membuka minda mereka tentang keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

"Jika dilihat ketika Pilihan Raya Umum 2008 ramai anak-anak muda yang tak sokong kita. Bagaimanapun usaha-usaha yang dijalankan ini, termasuk menyediakan program perumahan untuk golongan muda mengubah persepsi tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvokesyen kali kelapan Cybernetics International College of Technology (Cybernetics) di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini Sabtu.

Ahmad, yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata sifat Najib dan para pemimpin kerajaan pusat yang cakna orang muda dan sering melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti golongan itu turut menyumbang kepada peralihan sokongan itu.

"Kita harap perubahan persepsi di kalangan orang muda ini akan terus berlaku," katanya.

Ahmad berkata Umno akan terus menggiatkan usaha untuk mendaftarkan individu layak yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, terutama anggota Umno.

"Mereka harus faham bahawa proses pendaftaran ini mengambil masa selama tiga bulan sebelum mereka boleh mengundi, jadi mereka perlu mendaftar awal bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Pada majlis konvokesyen itu, 1,047 graduan menamatkan pengajian dalam pelbagai program termasuk Diploma Perbankan Islam, Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Diploma Perakaunan dan Diploma Pengurusan Perniagaan. - BERNAMA

Artikel Lain