suria

LIMA'11 Paling Berjaya:Ahmad Zahid

LANGKAWI: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) akan dapat menarik 125,000 pengunjung apabila ia berakhir di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) petang ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah pengunjung itu termasuk 34,000 pelawat perdagangan pada segmen udara dalam pameran itu di MIEC.

"Bagi segmen maritim, kita menerima 21,000 pengunjung bagi pelawat kerjaya dan begitu juga 14,000 pelawat kapal," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu, hari terakhir pada pameran lima hari itu.

Ahmad Zahid menyifatkan edisi ke-11 LIMA sebagai yang paling berjaya sejak ia pertama kali diadakan pada 1991.

Malaysia Book of Records juga mengiktiraf pameran udara LIMA '11 sebagai yang paling besar pernah diadakan di Malaysia dengan menyerahkan sijil itu kepada menteri.

LIMA 2009 menarik 71,000 pengunjung terdiri daripada 33,000 pelawat perdagangan dan 38,000 orang awam.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), perbincangan perniagaan yang diadakan semasa LIMA '11 menunjukkan jualan potensi bernilai US$43.6 juta.

Jumlah itu adalah hasil 52 perbincangan perniagaan membabitkan 33 syarikat Malaysia dan 10 syarikat asing.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegur Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malysia (MISC), syarikat perkapalan terkemuka Malaysia, berhubung ketidakhadirannya pada LIMA tahun ini.

"Bagi LIMA 2013, kita akan pastikan MISC mengambil bahagian," katanya.

Beliau berkata MISC perlu membantu program yang disokong kerajan seperti LIMA.

"Jadi jangan ambil ringan, saya cuma nak beritahu MISC, tolong jangan bersendirian, sertai kami dalam mempromosikan industri maritim.

Ahmad Zahid juga mahu melihat penyertaan dari sektor minyak dan gas akan meningkat dan begitu juga dengan kapal dan pesawat komersial.

Hari ini menyaksikan ribuan manusia beratur untuk masuk ke MIEC bagi melihat pameran udara dan juga pameran statik pesawat.

Mereka dilihat mengambil peluang mengumpulkan barangan seperti baju T, lencana khas, rantai kunci dan topi. - BERNAMA

Artikel Lain