suria

Empat Lelaki Larikan Barangan Bernilai RM10,000 Dari Kedai Emas

KLANG: Empat lelaki bersenjatakan parang dan kapak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata dalam kejadian 8.15 malam itu, mereka hanya sempat melarikan barang kemas yang dipamerkan iaitu dua utas rantai, sepasang subang dan dua bentuk cincin emas.

"Suspek yang membawa sebilah kapak dan dua bilah parang kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ketika kejadian, suspek yang berumur antara 20 dan 30 tahun, tidak memakai topeng muka dan polis kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam kedai itu.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain