suria

BN Pahang Cadang Letak Lebih Ramai Calon Wanita Pada PRU Ke-13

PEKAN: Barisan Nasional (BN) Pahang bercadang meletakkan lebih ramai calon wanita pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Adnan yang juga Pengerusi BN negeri berkata beliau kini sedang mencari dan meneliti calon wanita yang boleh menang untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Kena cari dulu (calon wanita)...bukan senang tetapi kita cuba nak ramaikan calon wanita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek InfoSTI di Nenasi di sini, Sabtu.

Katanya setakat ini beliau telah mengenal pasti dua wanita yang sesuai bagi dipertimbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon.

"Memang wanita kuat bekerja dan mereka telah minta kouta untuk menjadi calon, tetapi calon yang boleh menang di kalangan wanita tidak ramai dan kita kena cari dulu," katanya.

Pada masa ini, Pahang mempunyai dua wakil rakyat wanita iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Datuk Maznah Mazlan yang juga Anggota Dewan Negara serta Timbalan Menteri Sumber Manusia dan ADUN Kuala Sentul Datuk Shahaniza Shamsuddin selain Anggota Parlimen Raub, Datuk Seri Ng Yen Yen yang juga Menteri Pelancongan. Ditanya sama ada beliau telah mempunyai senarai calon bagi keseluruhan kerusi di negeri itu, Adnan berkata: "Saya sentiasa mengemaskini senarai calon bahkan dalam kepala saya sudah siap (senarai calon)." - BERNAMA

Artikel Lain