suria

Ahli Akademik, Pelajar Perlu Lebih Fahami Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR: Ahli akademik dan penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini perlu lebih memahami hak asasi manusia, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam.

Beliau berkata sehubungan itu, perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Suhakam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Jumaat diharap dapat membantu lebih ramai ahli akademik dan pelajar memahami perkara tersebut.

"Tidak semestinya ahli akademik tahu semua pasal hak asasi manusia, dengan perjanjian ini diharap memberi peluang kepada mereka untuk terlibat membuat kajian, atau mengikuti ceramah, diskusi dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU itu di sini.

Antara lain, MoU bagi tempoh tiga tahun itu melibatkan pelbagai bentuk kerjasama iaitu penganjuran program bersama, penyelidikan, perkongsian serta penggunaan maklumat mengenai hak asasi manusia.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata universiti berkenaan mengamalkan dasar kebebasan akademik.

Bagaimanapun, beliau berkata UKM tidak menggalakkan pelajarnya terlibat dalam politik kepartian di kawasan universiti kerana ia mungkin menimbulkan suasana tidak diingini dalam kampus.

Sharifah Hapsah turut merujuk insiden di sebuah universiti di Colombo, Sri Lanka di mana beliau sendiri menyaksikan bagaimana seorang Naib Canselor tidak dapat menghadiri mesyuarat ekoran keadaan huru-hara dalam kampus.

Katanya, selama ini UKM memberi kebebasan kepada penuntut untuk terlibat dalam wacana politik atau menjemput ahli politik dari luar memberikan ceramah, terutama mereka yang mengikuti pengajian dalam bidang sains politik. - BERNAMA

Artikel Lain