suria

Tengku Mahkota Johor Tunjuk Keberanian Kendali Helikopter Tiger

LANGKAWI: Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pada Jumaat menunjukkan keberanian baginda mengendali helikopter 'Tiger' keluaran Eurocopter sempena lawatan baginda ke Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) di sini.

Baginda menaiki helikopter itu yang dipandu juruterbang Fabrice Bonne dan mengambil masa kira-kira 25 minit berada di ruang udara berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Baginda yang ditemui selepas menaiki helikopter berkata, ini kali kelima baginda membuat penerbangan dengan pesawat pejuang tetapi helikopter ini mempunyai kelengkapan senjata yang lebih canggih.

Tunku Ismail Idris berkata walaupun hanya 25 minit tetapi ia satu pengalaman yang berharga dan berharap dapat menerbangkan helikopter itu dengan lebih lama lagi.

"Ia mempunyai sistem kawalan yang hebat. Pilot juga ada memberi arahan tentang cara kawalan pesawat yang baik," kata baginda kepada Bernama.

"The Tiger" merupakan generasi terbaru helikopter penyerang yang ditampilkan pada demonstrasi penerbangan di LIMA '11.

Ia adalah helikopter berat sederhana 6-tan dengan kokpit dua tempat duduk dan rekaan enjin kembar untuk keupayaan 'survival'.

Pesawat itu dimajukan bagi meliputi pelbagai peranan luas dalam kondisi operasi yang cukup mencabar termasuk pengintipan dan pengawasan bersenjata, tugas mengiring, tempur udara ke udara, sokongan serangan dari bumi dan tempur kereta kebal.

Artikel Lain