suria

Sultan Selangor Mahu Majlis Sederhana

PETALING JAYA: Sultan Selangor menitahkan penganjur supaya tidak berbelanja mewah dan menghadiahkan cenderamata dalam setiap majlis yang dihadiri baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut meminta kerajaan negeri dan orang ramai supaya tidak memperincikan persediaan untuk menyambut kehadiran baginda kerana dianggap sebagai suatu pembaziran.

"Tiada keperluan membelanjakan RM60,000 bagi mendapatkan seorang penyanyi untuk menghiburkan beta atau mengupah pengacara majlis untuk acara tersebut. Apa tujuan semua itu?

"Beta boleh menerima pengacara majlis yang disediakan oleh jabatan penerangan negeri," kata baginda.

Baginda turut menasihatkan penganjur untuk menghadiahkan buku yang kemudiannya boleh diserahkan kepada perpustakaan awam selepas dibaca.

Setiap pekerja di bahagian pengurusan negeri dan kakitangan awam perlu lebih berhati-hati dengan perbelanjaan yang melibatkan dana awam.

Baginda berkata demikian dalam temu ramah bersama The Star sempena sambutan 10 tahun pemerintahannya dan ulang tahun kelahiran ke-66.

Tahun lalu, baginda mengkritik majlis makan tengah hari sempena ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor kerana berbelanja mewah.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim kemudiannya mengakui kos majlis tersebut menelan belanja RM1 juta.

Enggan menerima cenderamata, baginda berkata, buku lebih berharga untuk diberikan sebagai hadiah.

"Buku-buku itu boleh disimpan di dalam perpustakaan beta. Jika ada lebih, beta boleh dermakan buku-buku tersebut. Sebagai contoh, jika beta diberi buku agama, selepas membacanya beta boleh berikan buku itu kepada masjid diraja.

"Selepas itu, orang lain juga boleh membacanya. Lebih banyak faedah diperolehi menerusi cara itu," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut bertitah, baginda menggemari hidangan sederhana.

"Hakikatnya, beta tidak selalu makan tengah hari, jadi sesuatu yang sederhana sudah mencukupi," titah baginda.

Baginda mengingatkan penganjur supaya mengetahui tujuan sebenar sesuatu majlis diadakan.

"Jika majlis itu untuk kanak-kanak kurang berkemampuan, jadi fokus perlu lebih diberikan kepada mereka. Rakyat perlu diberi keutamaan," titah baginda.

Artikel Lain