suria

Samun dan Pecah Rumah, Suami Isteri Ditahan Kali Ketiga

KAJANG: Sepasang suami isteri ditahan buat kali ketiga Ahad lalu kerana masih tidak serik melakukan kerja menyamun dan pecah rumah.

Pasangan penjual burger ini yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di sebuah rumah di Sungai Long di sini bersama-sama sejumlah barangan elektronik dan gajet yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Antara barangan tersebut ialah komputer riba, telefon bimbit, perakam video, kamera, Ipod dan Ipad.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata dengan penahanan itu, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes samun dan pecah rumah di sekitar sini, Putrajaya dan kawasan lain.

Beliau berkata dipercayai pasangan tersebut turut menyamar sebagai anggota polis semasa menyamun mangsa kerana turut ditemui pada mereka ialah sepasang gari.

Modus operandi yang digunakan oleh pasangan itu ialah dengan menyasar mangsa di pameran komputer, mencuri barangan di dalam kereta dan memecah masuk rumah, katanya.

Dalam satu kes berasingan Ahad lalu, Abdul Rashid berkata dua lelaki yang dipercayai anggota kumpulan mencuri motosikal ditahan dan ditemui beberapa komponen dan rangka motosikal yang dianggarkan bernilai RM15,000 daripada mereka.

Beliau berkata pemandu lori yang berusia 48 tahun dan remaja yang berusia 17 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar sini sejak setahun lepas.

Tiga kes kecurian motosikal dapat diselesai dengan penahanan mereka, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain