suria

PSC Akan Perakukan Cadangan Kekal 34 Peratus Kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak

KUCHING: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) akan mengemukakan perakuan berikutan beberapa cadangan daripada pelbagai pihak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan 34 peratus peruntukan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak dalam eksesais persempadanan semula nanti.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang mempengerusikan pendengaran awam dua hari mulai Khamis berkata, PSC bersimpati dengan beberapa pandangan yang dibawa tiga kumpulan termasuk Parti Keadilan Rakyat Sarawak, DAP Sarawak DAP dan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA).

"Kita akan pertimbang pelbagai komen dan membuat rumusan," katanya kepada pemberita di sini semasa waktu rehat pada pendengaran awam itu yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya di sini.

Beliau berkata isu itu mengimbas kembali sejarah apabila dua negeri perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga jumlah kerusi Parlimen selaras dengan dasar dan semangat Perjanjian Malaysia.

Semasa membuat cadangan itu, Ketua PKR Sarawak, Baru Bian berkata wakil yang dipilih dan kerajaan negeri perlu memastikan perjanjian yag dibuat pengasas mereka yang memberi hak khas kepada kedua-dua negeri, perlu dipatuhi agar Sarawak tidak menjadi kurang diwakili di peringkat persekutuan.

"Saya tidak mengatakan perkara ini kerana saya dalam pembangkang, kata Baru yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ba'kelalan sambil berkata bahawa masalah itu timbul selepas Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia, meninggalkan semua 15 kerusi Parlimen kepada semenanjung.

Bagaimanapun, dalam proses persempadanan semula, beliau berkata SPR perlu mempertimbang faktor geografi seperti kawasan yang luas terbentang dan jarak selain kepadatan penduduk, jumlah pengundi dan potensi ekonomi sesebuah kawasan.

Sementara itu, anggota PSC dan Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi bersetuju bahawa formula 34-66 peratus perkongsian kuasa perlu dikembalikan dengan melihat pada sempadan kawasan luar bandar yang baharu bagi membolehkan suara penduduk luar bandar didengari.

Ketika ditanya sama ada eksesais persempadanan semula itu sempat dibuat bagi pilihan raya umum ke-13, Ongkili berkata ia merupakan sesuatu yang perlu dibuat susulan oleh SPR.

"Pihak kerajaan dan pembangkang bersikap neutral dalam perkara ini, katanya. Beberapa cadangan unik bagi Sarawak termasuk pendaftaran pengundi secara automatik, peluang bagi orang di luar pusat mengundi untuk mengundi lebih awal dab menjadikan mandatori bagi stesen radio dan televisyen untuk memberi ruang untuk Barisan Nasional dan pembangkang. - BERNAMA

Artikel Lain