suria

Polis Percaya Masalah Keluarga Punca Kebakaran

KUALA LUMPUR: Polis percaya wujud masalah keluarga dalam kejadian kebakaran yang menyebabkan seorang suri rumah maut akibat melecur teruk di Tingkat 15, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya di sini, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata siasatan mendapati tiada individu atau pihak ketiga yang terlibat semasa kejadian itu kecuali mangsa dan suaminya.

"Kita percaya punca kejadian kerana masalah keluarga. Jika ada unsur jenayah, mungkin antara mereka berdua sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat seorang anggota polis yang cedera sewaktu mengejar seorang penagih dadah di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Khamis.

Beliau berkata polis masih belum dapat mengambil keterangan suami mangsa kerana dia masih tidak sedarkan diri di HKL.

Dalam kejadian itu, suri rumah Tutty Suri Yaty, 34, meninggal dunia di HKL setelah tubuhnya melecur hampir 80 peratus manakala suaminya, Raja Basir Ali Peer Bux, 56, seorang pengawal keselamatan, cedera di tangan dan kaki. - BERNAMA

Artikel Lain