suria

Pegawai Bank Perlu Dilengkapi Pengetahuan Mengenai Biojisim

KUALA LUMPUR: Bank-bank di Malaysia mesti mempunyai pegawai yang mempunyai pengetahuan mengenai biojisim bagi meningkatkan pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam segmen ekonomi yang semakin pesat berkembang itu.

Penasihat teknikal kepada Inisiatif Pengeluaran Lestari Biojisim Kesatuan Eropah-Malaysia (Biomass-SP), Datuk Leong Kin Mun berkata PKS, sebahagian besarnya terdiri daripada projek permulaan, menghadapi masalah memperoleh pembiayaan bagi mengkomersilkan cadangan masing-masing.

"Isunya bukan disebabkan bank tidak mahu membiayai projek biojisim, tetapi mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai subsegmen biojisim.

"Apabila syarikat memohon pinjaman, pegawai bank berkata mereka tidak mengetahui mengenai produk seperti itu dalam biojisim, dan oleh itu syarikat berkenaan, tanpa sebarang pilihan, tidak mengkomersilkan produk mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal Persidangan Perkongsian Perniagaan dan Amalan Terbaik Biojisim EU-Asia 2012.

Leong berkata kebanyakan PKS Malaysia memilik pinjaman bank disebabkan ia lebih mudah diurus dan perniagaan itu masih dalam kawalan khusus syarikat.

Beliau berkata Biojisim-SP merancang melaksanakan inisiatif untuk mendidik penggiat sektor perbankan mengenai pentingnya pembiayaan untuk syarikat permulaan dalam sektor biojisim.

"Kami merancang menganjurkan program pembangunan kapasiti supaya bank dapat memahami lebih baik mengenai cara untuk memenuhi dan membiayai projek-projek biojisim," katanya.

Selepas persidangan dari 7 hingga 10 Mei itu, Biojisim-SP merancang menghantar memorandum kepada kerajaan memandangkan hanya kerajaan melalui Kementerian Kewangan boleh meminta Bank Negara Malaysia mengeluarkan kenyataan kepada bank-bank lain, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain