suria

PDRM Sudah Sedia Hadapi Pilihan Raya:KPN

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

"Semua Ketua Polis Negeri telahpun menjalankan latihan...dan pegawai muda, kita dedahkan dengan peraturan semasa pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di sini Jumaat.

Ismail berkata, polis juga telah mula menilai dan menghantar laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk memberi maklumat tentang kesesuaian kawasan yang akan digunakan sebagai tempat mengundi.

Polis turut mengambil kira perubahan elemen sosial, ekonomi dan cuaca dalam mengatur strategi mengawal keselamatan ketika pilihan raya, katanya.

"Saya sentiasa menegur pegawai-pegawai pemerintah untuk sentiasa membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku termasuk faktor cuaca berubah," katanya.

Ismail berkata PDRM akan turut memantau reaksi mana-mana pihak berhubung isu penggunaan dakwat hitam pada pilihan raya akan datang.

"Apa juga reaksi rakyat terhadap perkara itu, sama ada menyokong atau tidak sesuatu keputusan, mereka hendaklah bertindak sebagai rakyat yang bertanggungjawab dengan tidak membelakangkan undang-undang negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain