suria

Ikrar Integriti Korporat Akan Tingkatkan Keyakinan Pelabur Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Ikrar Integriti Korporat (CIP) terhadap rasuah merupakan faktor penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Rasuah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), D Ravindran yang menggesa lebih banyak syarikat menandatangani CIP berkata, setakat ini 53 syarikat telah menandatanganinya.

Antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memeterainya ialah Telekom Malaysia Bhd, Sime Darby dan Tenaga Nasional manakala yang lain termasuklah Maybank, Air Asia, Siemens, Mydin, Tesco dan Shell.

"Kami bekerjasama dengan pelbagai syarikat, agensi pelesenan dan pihak berkuasa pelaburan untuk mewujudkan kesedaran mengenai CIP. Dengan CIP kami boleh memastikan sektor korporat kami dilindungi daripada rasuah.

"Persepsi paras rasuah sesebuah negara dan cara mereka menanganinya merupakan faktor utama yang mempengaruhi pelabur berpotensi. Ia adalah halangan yang akan membantutkan perniagaan," kata Ravindran kepada pemberita di Bukit Kiara, di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas taklimat Transparency International (TI) Malaysia mengenai rasuah korporat di Malaysia, yang diadakan bersempena dengan Hari Anti Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jumaat.

Turut hadir di majlis itu ialah presiden TI Malaysia Datuk Paul Low.

Ravindran berkata CIP di bawah Program Transformasi Kerajaan merupakan satu daripada inisiatif yang meningkatkan secara beransur-ansur persepsi orang ramai dalam memerangi rasuah.

Ini ditunjukkan menerusi penambahbaikan Pengukur Rasuah Malaysia daripada 48 peratus tahun lepas kepada 49 peratus tahun ini, katanya.

"Saya juga percaya persepsi itu merupakan satu daripada sebab FDI kita meningkat dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM26 bilion."

Ini merupakan peningkatan 42 peratus berbanding tahun lepas, katanya. Masih banyak yang perlu dilakukan pada 2012 dengan langkah menangani "rasuah utama" menjadi sasaran utama, katanya.

Sementara itu, Low berkata syarikat-syarikat yang menandatangani CIP akan mencetuskan 'riak gelombang' untuk memerangi rasuah dalam sektor korporat terutamanya dalam perniagaan pembinaan.

"Apabila sesebuah syarikat menandatangani CIP, pembekal, pekerja dan apa-apa yang berkaitan dengan syarikat itu boleh dianggap bersih," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain