suria

Guan Eng & Dua Timbalannya Menyelam Bersama KD Tun Razak Di Langkawi

LANGKAWI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan dua timbalannya iaitu Datuk Mansor Othman dan Dr P. Ramasamy telah dibawa dengan sebuah helikopter khas untuk mendarat di atas kapal TLDM sebelum dibawa menaiki kapal selam negara, KD Tun Razak untuk operasi menyelam.

Lim dan rombongannya terdahulu telah disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada lebih kurang jam 2 petang Jumaat.

Ketika mereka ditemui oleh para pemberita di LTAL, Ahmad Zahid secara berseloroh berkata; "Walaupun saya tidak dapat mengiringi YAB Lim dan rombongannya menyelam bersama KD Tun Razak tetapi yang pasti mereka tetap akan kembali ke sini."

Kata-katanya itu membuatkan semua yang hadir ketawa.

Lim, Mansor dan Dr Ramasamy kemudian menaiki sebuah helikopter yang membawa mereka terus ke atas dek sebuah kapal friget TLDM yang sedang menanti di tengah laut. Kapal tersebut selepas itu membawa mereka ke KD Tun Razak yang sedang menanti.

Oleh kerana laut di perairan Langkawi tidak begitu dalam, KD Tun Razak perlu bergerak ke kawasan laut dalam terlebih dahulu sebelum dibenarkan menyelam.

Sebelum itu, para wartawan dan jurugambar terlebih dahulu telah dibawa belayar sejauh lima jam perjalanan dari Langkawi ke kawasan laut di mana KD Tun Razak bersedia untuk menyelam.

Artikel Lain