suria

Dua Rakan Maut Nahas Jalan Raya Di Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Dua pemuda maut dan seorang lagi cedera apabila kereta yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah van di Kampung Kubang Itek, Lubok Setol, di sini Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira 10 pagi itu, Mohd Norhakim Sabaruddin dan Mohd Aizad Salahuddin, yang cedera parah pada badan dan muka mati di tempat kejadian.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Abdul Ghani Mamat berkata rakan mangsa, Sazali Mohamad yang cedera di bahagian muka, dirawat di Hospital Pasir Mas dan dilaporkan stabil.

Sementara itu, pemandu van Mohd Azman Omar, 28, dan kelindannya yang belum dikenal pasti tidak mengalami kecederaan, katanya kepada Bernama, di sini.

Abdul Ghani berkata kejadian berlaku apabila kedua-dua kenderaan itu yang datang dari arah bertentangan bertembung selepas melalui satu selekoh berbahaya di kawasan tersebut.

Akibat pertembungan itu, kereta berkenaan remuk teruk di bahagian depan menyebabkan mangsa tersepit dan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mereka, katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain