suria

AirAsia Akan Tutup Perkhidmatan Pusat Panggilan

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd akan menghentikan perkhidmatan pusat panggilannya di Malaysia mulai Mac tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Tan Sri Tony Fernandes, pada Jumaat.

Beliau berkata, perkhidmatan itu, yang disumber luar daripada firma lain, tidak mencatat keuntungan dan jumlah jualan tidak ketara.

Menurutnya, langkah itu akan menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan meja bantuan dalam talian syarikat penerangan tambang rendah atau pergi ke Pusat Perkhidmatan dan Perjalanan AirAsia yang terdekat.

"Pusat-pusat panggilan tidak dapat menampung asas dan kehendak pelanggan kami yang pesat berkembang. Kami menghentikan jualan di pusat itu empat bulan lepas dan kami akan menamatkan perkhidmatan pusat panggilan menjelang Mac 2012," katanya selepas membuka Pusat Perkhidmatan dan Perjalanan AirAsia di KL City Walk, dekat Kuala Lumpur City Centre.

Fernandes berkata, pusat-pusat panggilan menerima banyak panggilan palsu serta panggilan daripada pengguna yang tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan syarikat penerbangan itu.

Pusat itu pada asalnya ditubuhkan untuk menjual tiket penerbangan.

AirAsia juga mempunyai pusat-pusat panggilan di Indonesia, India, Thailand dan China.

"Pusat panggilan di Indonesia dan Thailand sudah diminta mengemukakan laporan sama ada pusat perkhidmatan itu masih diperlukan.

"Bagaimanapun kami akan mengekalkan pusat panggilan di China dan India berikutan AirAsia tidak mempunyai pejabat di sana.

"Pusat panggilan merupakan kaedah tradisional yang sudah sebati dengan penduduk di kedua-dua negara itu," kata Pengarah Komersil AirAsia Jasmine Lee.

Beliau berkata, meskipun kos penjimatan operasi akibat penutupan pusat panggilan tidak ketara, jumlah itu boleh digunakan untuk meningkatkan modal insan dan merangsang promosi pasaran. - BERNAMA

Artikel Lain