suria

Wanita Parah, Terjun Dari Tingkat Tujuh Elak Serbuan Polis

KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera parah selepas terjun dari sebuah unit di tingkat tujuh Projek Perumahan Rakyat Permai, Cheras di sini semalam, ketika mengelak serbuan polis.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, wanita berusia 25 tahun itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan keadaannya dilapor stabil.

"Sebelum itu, satu pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras mendapat maklumat mengenai jenayah dadah di rumah tersebut dan terus menyerbu rumah mereka kira-kira pukul 11.30 malam.

"Kita mengesan dua lelaki dan seorang wanita di dalam rumah itu, namun selepas pintu dipecahkan kita hanya menemui dua lelaki berumur 20-an dan kelibat wanita itu gagal dikesan," katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Beliau berkata, polis kemudian menemui wanita itu terbaring di bahagian bawah blok bangunan.

Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek merupakan penagih dadah, dan Bernama difahamkan suspek wanita itu mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Artikel Lain