Usahawan Wanita UAE Intai Peluang Dalam Kewangan Islam, Makanan Halal - Semasa | mStar

Usahawan Wanita UAE Intai Peluang Dalam Kewangan Islam, Makanan Halal

KUALA LUMPUR: Usahawan wanita utama Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyasar peluang pelaburan dengan rakan perniagaan dari Malaysia dalam dua bidang - kewangan Islam dan makanan halal.

Presiden Majlis Perniagaan Wanita Abu Dhabi dan ketua pegawai operasi Al Jaber Group, Fatima Al Jaber berkata, kewangan Islam dan makanan halal ialah dua bidang yang Malaysia dan UAE boleh bekerjasama.

"Kewangan Islam merupakan sektor sangat penting di mana Malaysia menjadi pelopor dan saya mempengerusikan sebuah bank pelaburan (di UAE). Kami menyasar peluang pelaburan di Malaysia," katanya kepada Bernama selepas persidangan Meja Bulat Wanita-Wanita Berpengaruh UAE - Malaysia 2011, di sini, Khamis.

Al Jaber ialah antara usahawan wanita terkemuka UAE yang berada di Malaysia sempena menghadiri persidangan meja bulat itu.

Persidangan Wanita-Wanita Berpengaruh itu, yang dianjurkan oleh Inside Investor, bermula dari 5-9 Disember bertujuan untuk menyediakan pemahaman menyeluruh tentang peluang perniagaan yang tersedia di Malaysia kepada tetamu dari UAE itu.

Beliau berkata, UAE menawarkan peluang besar bagi pelabur Malaysia dalam banyak bidang termasuk liburan, hotel, sukan, harta, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

"UAE ialah pasaran pengguna. Industri sukan dan penjagaan kesihatan sedang berkembang pesat. Pendidikan juga semakin meningkat. Kami mempunyai semua jenis sekolah dan universiti di UAE. Terdapat juga permintaan besar bagi jenis hartanah tertentu di sana," katanya.

Beliau juga berkata, perkhidmatan kewangan merupakan satu lagi bidang yang boleh dimanfaatkan oleh pelabur Malaysia kerana orang asing ketika ini terlibat dalam perniagaan di negara itu. "Sepatutnya ada hubungan dua hala (hubungan perniagaan)...pelabur Malaysia harus datang ke UAE dan meneroka bidang-bidang ini," katanya.

Kumpulan Wanita-Wanita Berpengaruh itu juga menyebut bahawa tiga bahagian penting yang mereka pertimbangkan sebelum meneroka perniagaan di Malaysia ialah peraturan kerajaan, percukaian dan persekitaran perniagaan.

Kumpulan itu, dalam dua hari lepas telah bertemu dengan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Dr Wong Lai Sum, ketua pegawai eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Noharuddin Nordin, ketua pegawai operasi SME Corp Datuk Hafsah Hashim.

Hari ini, mereka dijadualkan bertemu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

RUM Cadang KTMB Dijadikan Agensi Kerajaan

default image

Naib Presiden Pas Nafi Nik Aziz Nazak

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain