suria

Syarikat M'sia Dipelawa Sertai Sektor Makanan Halal Di Kazakhstan

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia dipelawa untuk mengambil bahagian dalam pelbagai sektor perniagaan di Kazakhstan, khususnya dalam sektor makanan halal dan kewangan Islam.

Duta Kazakhstan ke Malaysia, B. Atamkulov, berkata, kedua-dua sektor itu menawarkan potensi pertumbuhan yang sangat besar kerana kebanyakan penduduk negara itu beragama Islam.

Atamkulov juga berkata, beliau ingin melihat produk Malaysia mengalir masuk secara terus ke Kazakhstan agar negara itu tidak lagi mendapatkannya daripada pihak ketiga.

"Sekarang kami mendapat produk Malaysia seperti getah, minyak sawit dan perabot dari negara-negara lain. Kami berharap kami boleh mendapatkan produk Malaysia secara terus," katanya pada satu sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Perniagaan Kazakhstan-Malaysia di sini, Khamis.

Menurut Atamkulov, banyak syarikat Malaysia telah memulakan rundingan untuk mengadakan operasi di Kazakhstan, khususnya dalam industri minyak dan gas, dan farmseutikal.

"Wujud juga peluang bagi kereta Proton dijual di Kazakhstan. Kami sedia memasang kereta Proton di Kazakhstan. Kerajaan kami memberikan layanan istimewa kepada syarikat itu," katanya.

Kata beliau, ahli perniagaan Kazakhstan berminat untuk meneroka projek-projek dalam wilayah Iskandar Malaysia di Johor dan melaksanakan projek-projek prasarana di Malaysia.

"Masa depan antara kedua-dua negara amat cerah. Kita amat menyenangi satu sama lain, dan ini menjadikannya lebih mudah mengadakan janji niaga," tegasnya.

Acara hari ini menyaksikan pelancaran Dewan Perniagaan Kazakhstan-Malaysia dan pemeteraian memorandum persefahaman antara Melewar Integrated Engineering Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Melewar Industrial Group Bhd, dan Kazmy Steel Company bagi pelaburan berjumlah RM178 juta dalam kilang MycroSmelt di Almaty, Kazakhstan. - BERNAMA

Artikel Lain