suria

Sultan S'gor Tidak Mahu Lihat Islam Dipermainkan

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda tidak rela melihat agama Islam dipermain-mainkan oleh orang lain yang cuba menjatuhkan imej dan nama baik agama itu.

Sehubungan dengan itu, baginda selaku ketua agama Islam negeri, meminta anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya mempertahankan kesucian dan nama baik agama Islam.

"Ahli-Ahli Mais mempunyai peranan yang penting dalam mengubah dan mentransformasikan badan itu ke arah yang lebih cemerlang supaya dipandang tinggi dan dihormati oleh semua masyarakat," titah baginda pada majlis pengurniaan watikah pelantikan kepada 20 anggota Mais bagi sesi 2012 -2014 di Istana Bukit Kayangan di sini, Khamis.

Baginda juga mahukan rakyat terus memberi kepercayaan dan penghormatan mereka terhadap institusi Islam di negeri ini terutamanya Mais.

"Beta tidak mahu ada pihak yang memperkecilkan kemampuan institusi ini dalam mentadbir dan memajukan ekonomi masyarakat Islam sehingga mereka yang tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan agama Islam turut terlibat demi kepentingan politik atau kepentingan peribadi mereka," titah Baginda.

Sultan Selangor bertitah keadaan ini secara tidak langsung akan mengelirukan dan meresahkan umat Islam di negeri Selangor serta menjadikan kepercayaan umat Islam terhadap institusi agama Islam berkurangan.

Baginda juga mengingatkan anggota Mais bahawa pihak yang cuba menjatuhkan Islam akan sentiasa berusaha mencari kelemahan yang ada pada institusi Islam untuk didedahkan kepada masyarakat agar agama itu dipandang sebagai agama yang tidak boleh membawa kemajuan dan kesejahteraan.

"Justeru itu, ahli-ahli Mais dan seluruh umat Islam di Selangor perlu berwaspada dan sentiasa ingat mengingati supaya umat Islam sentiasa bersatu padu dan bekerjasama untuk menaikkan syiar Islam supaya dipandang mulia dan dihormati," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah rakyat berbilang kaum di negeri ini harus hidup dalam keadaan aman dan makmur serta mengecapi kekayaannya bersama-sama dan mendapat apa yang mereka perlukan untuk kehidupan seharian.

Baginda berharap rakyat Selangor menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan negeri tetapi penganut agama-agama lain bebas untuk menjalankan aktiviti keagamaan masing-masing.

"Justeru itu, Beta menyeru dan menasihatkan supaya perkara-perkara yang menyentuh tentang agama tidak dipolitikkan supaya rakyat boleh hidup dalam suasana saling hormat-menghormati dan harmoni," titah baginda.

Sultan Selangor juga berpuas hati dengan khidmat dan sumbangan anggota-anggota Mais yang membawa institusi Islam di Selangor ke arah kemajuan dan pembangunan lestari.

Artikel Lain