suria

Sarawak Kongsi Kepakaran Kunming Majukan Industri Pelancongan

KUCHING: Sarawak mahu berkongsi kepakaran dengan Kunming, China dalam memajukan industri pelancongan, kata Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata tahun lalu, wilayah Kunming yang terkenal dengan produk tanaman seperti bunga berjaya menarik kira-kira 30 juta pelancong.

"Kita difahamkan bandar raya Kunming di China cukup terkenal kepada pelancong asing kerana mempunyai banyak tarikan seperti taman-taman bunga dan padang golf yang indah," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rombongan penggiat industri pelancongan dari Kunming di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Sarawak juga mahu menarik kehadiran pelancong dari Kunming melalui pakej pelancongan Kunming-Kuala Lumpur-Kuching khasnya ketika wilayah tersebut dilanda musim sejuk melampau pada penghujung tahun.

Abang Johari berkata bagi tempoh 10 bulan tahun ini, Sarawak menerima kehadiran kira-kira tiga juta pelancong dan daripada jumlah itu, 30,000 orang merupakan pelancong China termasuk dari Kunming. - BERNAMA

Artikel Lain