suria

Polisi Pemberhentian Pekerja Dipersoal:Mohd Khalid

PETALING JAYA: Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan mempertikaikan polisi baru pemberhentian pekerja di sektor awam yang diumumkan kerajaan.

Mohd Khalid berpendapat, polisi itu ibarat menyamakan tindakan kerajaan menjadikan kakitangannya sebagai mangsa budaya pilih kasih.

"Jika terdapat sebarang kegagalan memantau kakitangan yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan sebelum ini, mereka perlu bertanya kepada diri sendiri cara untuk memperbaiki sektor awam.

"Polisi baru ini ibarat mengambil jalan pintas dan menunjukkan anda gagal menguruskan pekerja," katanya.

Menurut beliau, terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan motivasi pekerja seperti melakukan latihan, penilaian dan mendapatkan maklum balas daripada memberhentikan mereka.

Katanya, usaha untuk membawa masuk golongan profesional daripada sektor swasta menyertai perkhidmatan awam bagi mengisi jawatan tertinggi akan memberikan kesan sebaliknya.

"Dengan membawa masuk golongan tersebut, kerajaan menyedari bahawa pekerja sektor swasta lebih bagus. Tindakan itu perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira kesannya secara mendalam," katanya.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan sebarang komen.

Beberapa pekerja dalam sektor awam berkata, mereka sedang menunggu butiran dalam skim terbaru itu.

Seorang guru yang enggan dikenali berkata, dia dan rakan sekerjanya masih menunggu surat pekeliling mengenai skim itu yang didakwa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah diedarkan semalam.

"Kami mendengar pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan bajet secara teori. Namun kami mahu melihat penyelarasan dengan jelas.

"Kami tidak mahu elaun kami ditarik balik. Kami mahu melihat dengan jelas apa yang sudah dijanjikan," katanya.

Seorang pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara bagaimanapun tidak menyokong kenaikan gaji di jabatan itu.

"Bagi sesiapa yang bekerja keras, kenaikan ini sudah terlambat tapi mereka yang tidak efisyen, kenaikan tersebut tidak berasas," tambahnya.

Artikel Lain