suria

Permohonan Sabitkan Lelaki Berusia 101 Tahun Hina Mahkamah Ditolak

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak permohonan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) untuk mensabitkan seorang warga lelaki berusia 101 tahun dengan kesalahan menghina mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Douglas Primus membuat keputusan membebaskan Ungkok AK Munan yang menetap di Skim SLDB, Rancangan Apas Balung, dengan alasan SLDB selaku plaintif dalam kes berkenaan, tidak mengikut prosedur yang betul.

Ungkok diwakili peguam Datuk Kong Hong Ming manakala SLDB diwakili peguam Hamid Hamzah Mydin.

Pada 2009, SLDB memohon kepada mahkamah supaya mensabitkan Ungkok sebagai menghina mahkamah selepas warga emas berkenaan didakwa menghalang agensi kerajaan negeri itu atau ejennya untuk memasuki tanah lot 80 di dalam Skim SLDB, Rancangan Apas Balung, untuk mengutip, mengangkut dan menjual buah kelapa sawit.

SLDB membuat permohonan berkenaan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Rahman Sebli pada tahun 2009 membenarkan permohonan agensi itu atau ejennya untuk memasuki lot tanah itu untuk mengutip, mengangkut dan menjual buah kelapa sawit yang terdapat di situ. - BERNAMA

Artikel Lain