suria

Pergolakan DAP P.Pinang Jadi Semakin Menarik

GEORGE TOWN: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima R.S.N. Rayer mahu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy meminta maaf secara terbuka berhubung kenyataannya yang mendakwa Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh sebagai 'Godfather'.

Rayer yang juga Anggota Jawatankuasa DAP Pulau Pinang berkata Ramasamy juga perlu menarik balik kenyataan berkenaan dengan segera.

"Ramasamy harus berjumpa dengan Karpal untuk memohon maaf dan memberikan penjelasan mengenai perkara yang berlaku itu. Beliau sepatutnya menghormati pemimpin veteran berkenaan dan jangan menjadi 'warlord' (panglima perang) dalam DAP," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini.

Ramasamy dilaporkan telah mengumumkan beliau dan tiga calon wanita India bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) dalam satu majlis baru-baru ini.

Berikutan itu, Karpal yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor memberi amaran kepada Ramasamy supaya tidak mengumumkan konco-konconya sebagai calon.

Rayer berkata, DAP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Ramasamy jika beliau bersikap degil dan enggan memohon maaf terhadap Karpal.

Katanya, Timbalan Ketua Menteri II itu juga jangan 'seperti kacang lupakan kulit' kerana beliau dilantik untuk jawatan berkenaan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng selepas berbincang dengan Karpal.

"Tindakan beliau (Ramasamy) dilihat seperti tidak mempedulikan sumbangan Karpal terhadap parti DAP," katanya.

Artikel Lain