suria

Pendaftaran Haji Kini Menerusi ATM

KUALA LUMPUR: Maybank Islamic Bhd, cabang kewangan Islam kepada Maybank Group, muncul sebagai institusi kewangan pertama di Malaysia yang membolehkan pendaftaran haji menerusi mesin juruwang automatik (ATM).

Ini berikutan kerjasama strategik yang dijalin antara Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Maybank Islamic.

Pendaftaran Haji ialah antara enam perkhidmatan baharu yang diperkenalkan pada Khamis oleh kedua-dua institusi.

Sebaik sahaja akaun Maybank dan LTH dihubungkan, penyimpan boleh mengeluar serta menyimpan wang, memindahkan wang dari LTH ke akaun Maybank dan begitulah sebaliknya, membuat pemindahan wang dari satu akaun LTH ke akaun yang lain, memeriksa baki akaun dan mendaftar untuk Haji.

Ini boleh dilakukan menerusi ATM Maybank dan CDM.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Muzaffar Hisham berkata, perkhidmatan itu terbuka kepada semua pemilik akaun Maybank dan bukan hanya Maybank Islamic.

Ketua pegawai operasi LTH, Datuk Kamarudin Mat Ali berkata, kerjasama strategik ini juga telah meningkatkan akses ke perkhidmatan dari 1,800 pusat sentuh kepada lebih 6,000, menerusi ATM dan Mesin Deposit Tunai (CDM) Maybank seluruh negara.

"Kami lihat perkembangan perkhidmatan kami ini sebagai satu langkah proaktif untuk menambah nilai kepada para penguna serta membolehkan mereka berurusan dengan mesin ATM dan CDM Maybank selepas waktu kerja."

Beliau berkata, demikian pada persidangan akhbar selepas pelancaran kerjasama strategik LTH-Maybank Islamic di sini Khamis.

Maybank Islamic ialah bank ketiga yang telah bekerjasama dengan LTH, selepas Bank Islam dan Bank Rakyat.

Setakat 15 November lalu, transaksi elektronik untuk LTH, menerusi ATM dan CDM Bank Islam dan Bank Rakyat ialah 2.72 juta.

Muzaffar berkata, beliau amat yakin yang perkhidmatan baharu ini akan turut menerima sebanyak mungkin sokongan daripada para penyimpan Maybank.

Sebagai langkah permulaan, para penyimpan perlu melawat mana-mana pejabat LTH untuk menghubungkan akaun mereka di Maybank, bagi menikmati faedah kemudahan itu. - BERNAMA

Artikel Lain