suria

Penangkapan Berlebihan Punca Sumber Perikanan Sabah Merosot

KOTA KINABALU: Punca utama kemerosotan sumber perikanan pantai di Sabah adalah kerana penangkapan ikan yang berlebihan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Katanya, penggunaan peralatan menangkap ikan yang terlalu canggih dan penggunaan peralatan haram seperti bom racun oleh sesetengah nelayan yang tidak bertanggung jawab turut menyumbang kepada kemerosotan itu.

Menurut kajian Jabatan Perikanan Malaysia, sumber perikanan laut telah menurun dari 2.56 tan sekm persegi pada 1971 kepada 0.21 tan sekm persegi pada 2007.

"Di negeri Sabah, pendaratan ikan laut pada 1999 ialah 207,213 tan tetapi menurun kepada 174,579 pada 2010."

"Insiden ini telah menjejaskan tangkapan dan pendapatan nelayan pantai dan nelayan tradisional yang semuanya terdiri daripada nelayan kaum Bumiputra," katanya.

Yahya, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, berkata demikian pada Majlis Pelancaran Melabuh Tukun Tiruan di Perairan Petagas dan Perairan Lok Kawi Putatan di Kg Muhibbah dekat sini, Khamis.

Katanya, Jabatan Perikanan Sabah (JPS) telah dan sedang berusaha untuk melindungi dan memulihkan sumber perikanan terutama perikanan persisiran pantai.

Yahya berkata, projek Tukun Tiruan merupakan salah satu strategi yang digunakan untuk memulihkan sumber perikanan pantai yang kian merosot.

"JPS kini sedang giat berusaha memperbanyakkan pembinaan tukun-tukun tiruan baharu dan menempatkannya di kawasan-kawasan pantai yang sesuai."

"Tukun baharu seperti tukun tiruan kuboid, tukun tiruan lobster dan tukun tiruan dasar lembut yang lebih efisien, lebih berat, lebih besar dan boleh bertahan lebih lama sehingga 50 tahun."

"Tukun-tukun ini diperbuat daripada simen Gred 40 dan Gred 50 dengan berat lebih kurang enam hingga 30 tan seunit. Menggunakan tukun tiruan yang besar sangat berkesan untuk dijadikan habitat ikan atau rumah ikan dan memulihkan ekosistem semulajadi perairan pantai.

"Disamping itu, tukun-tukun tiruan ini juga berfungsi sebagai penghalang kepada pencerobohan kapal-kapal pukat tunda yang selalu menceroboh di kawasan persisiran pantai," katanya.

Sejak 2009, Yahya berkata Jabatan Perikanan telah melabuhkan dan menempatkan tukun tiruan di 13 daerah iaitu Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Papar, Putatan, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Pitas, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau dengan kos berjumlah RM4.026 juta melalui peruntukan daripada Kerajaan negeri dan persekutuan. - BERNAMA

Artikel Lain