suria

Pemuda Guna Teksi Bapa Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda sanggup menggunakan teksi bapanya untuk mengedar dadah jenis syabu bersama rakannya di sekitar pusat bandar sejak beberapa bulan lepas.

Menurut polis, kegiatan pemuda itu yang menyamar sebagai pemandu teksi dan rakannya sebagai penumpang, dikesan ketika asyik mengedar dadah di sebuah pusat beli belah di Bukit Bintang di sini pada Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata serbuan dilakukan pada 12.45 tengah hari hasil maklumat orang awam.

"Kami menemui dua bungkusan plastik berisi dadah di tempat duduk belakang, dan setelah diperiksa, didapati dadah anggaran berat 1.6 kilogram bernilai RM337,000," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 24 itu dan rakannnya yang berumur 28 tahun positif dadah.

Amar Singh berkata, kedua-dua lelaki itu bekerja sebagai pembantu am rendah di sebuah universiti dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara sambilan.

"Siasatan masih lagi dilakukan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam jenayah ini selain mengesan dari mana bekalan dadah diperoleh," katanya.

Amar Singh berkata kedua-dua mereka ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain