suria

Minyak Sawit Dapat Tentangan Daripada NGO Barat

JOHANNESBURG: Minyak sawit sentiasa diberikan layanan berat sebelah meskipun ia menguasai pasaran minyak dan lelemak dunia, selain merupakan industri yang produktif, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara Barat tidak menyukai minyak sawit dan menuduh industri itu bertanggungjawan terhadap penebangan hutan, sedangkan dakwaan itu tidak benar.

"Malaysia merupakan negara yang bertanggungjawab dari segi peladangan kelapa sawit.

"Kami membuat komitmen pada Sidang Kemuncak Rio di Brazil pada 1992, bahawa 50 peratus daripada kawasan tanah kami akan diliputi hutan, dan hari ini, angka itu meningkat kepada 56 peratus," kata Dompok pada temu bual secara langsung dengan CNBC Afrika petang Rabu.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 5.85 juta hektar tanah yang ditanami kelapa sawit dan sudah sampai ke penghunjungnya.

"Sudah tidak ada lagi kawasan memandangkan kami komited untuk memastikan lebih daripada separuh keluasan negara diliputi hutan," katanya.

Dompok berkata, lawatannya ke Afrika kali ini untuk Seminar dan Perdagangan Minyak Sawit yang membawa beliau ke Afrika Selatan dan Nigeria, bertujuan memastikan aliran maklumat yang tepat, dan pada masa yang sama menekankan komitmen Malaysia bagi mematuhi prinsip 3P industri itu iaitu Rakyat, Bumi dan Untung (People, Planet, Profit).

Ditanya sama ada Malaysia bersedia menjalankan usaha sama dengan rakan Afrika yang memerlukan sokongan kewangan dan teknikal, beliau berkata Malaysia pastinya dapat membantu negara yang mempunyai tanah yang sesuai untuk perladangan kelapa sawit.

"Apa yang telah kami pelajari selama ini boleh diturunkan kepada petani dan mereka yang berminat untuk menanam kelapa sawit, katanya dan menambah di Afrika Selatan, beliau melihat lebih banyak potensi dalam aktiviti pengeluaran hiliran.

Sebelum itu, semasa merasmikan Seminar dan Pameran Minyak Sawit Malaysia-Afrika 2011 di sini, Dompok berkata, industri minyak sawit berjaya mengharungi cabaran dan masih kukuh meskipun wujud pelbagai tanggapan negatif selain pelbagai dakwaan banyak pihak dari seluruh dunia.

Beliau juga mengetengahkan usaha Malaysia dari segi pemuliharaan dan pelepasan rumah hijau.

Malaysia katanya, telah menjalankan kajian mengenai penilaian kitaran hayat minyak sawit, bagi membantu mengenal pasti pelepasan karbon dan mengambil langah untuk menangani kesannya.

Dompok berkata, bagi pemuliharaan hidupan liar dan biokepelbagaian, kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk Tabung Pemuliharaan Hidupan Liar Minyak Sawit Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan juga memperuntukkan 100,000 hektar hutan hujan dalam kawasan seluas 300,000 hektar zon hutan di Sabah, sebagai santuari hidup liar. - BERNAMA

Artikel Lain