suria

Maxis Sasar Peningkatan 40 Peratus Pelanggan Di Kedai Konsep Baru

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd, penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu, menjangka dapat meningkatkan trafik pelanggan sebanyak 40 peratus di kedai konsep barunya, di The Gardens Mid Valley.

Maxis menjangka dapat menarik lebih ramai orang ke kedai itu dan melayani hingga 350 pelanggan sehari daripada 250 pelanggan sekarang, kata Ketua Pegawai Operasi Bersamanya, Suren J. Amarasekera, pada majlis pelancaran kedai itu di sini Khamis.

Beliau berkata, 33 buah lagi kedai dijadualkan turut dinaik taraf dan diubah wajah, dan Maxis menyasarkan untuk menaik taraf kedai-kedai yang telah bertapak kukuh di lokasi masing-masing.

"Dalam era perkhidmatan pelanggan ini, Maxis sentiasa mencipta inovasi agar pelanggan menerima pengalaman terbaik mungkin apabila mereka mengunjungi Pusat Maxis, dan kedai konsep serba baru ini akan membolehkan pelanggan benar-benar merasai pengalaman dunia digital," jelasnya.

Kedai konsep baru ini menampilkan mekanisma beratur yang lebih baik dan tempoh menunggu yang lebih singkat dengan penambahan bilangan kakitangan perkhidmatan yang melayani keperluan pelanggan.

Di sini, pelanggan-pelanggan boleh menikmati pengalaman penyelesaian bersepadu yang serba baharu, termasuk sudut peranti, serta titik sentuh pertama menggunakan peranti iPad untuk membantu melayani pertanyaan atau permintaan pelanggan.

Setakat ini, Maxis mempunyai asas pelanggan mudah alih berjumlah 14 juta dengan lebih 21,000 titik sentuh, termasuk 219 Rakan Kongsi Eksklusif untuk memenuhi keperluan pasaran. - BERNAMA

Artikel Lain