suria

MAS Tubuh Syarikat Penerbangan Premium Serantau Baru

KELANA JAYA: Malaysia Airlines (MAS) merancang untuk memulakan sebuah syarikat penerbangan premium serantau yang baru menjelang pertengahan 2012 dengan memberi tumpuan kepada penerbangan premium jarak dekat ke laluan-laluan menguntungkan seperti Asean dan China.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, MAS akan mengendalikan entiti baru itu tanpa campur tangan daripada entiti sekutu yang lain.

"Masih ada lagi pasaran untuk penerbangan kelas perniagaan walaupun dalam keadaan industri penerbangan yang tidak menentu yang terjejas oleh saingan sengit dan kenaikan harga bahan bakar jet," kata beliau dalam taklimat media mengenai rancangan pemulihan perniagaan MAS di sini, Rabu.

Ahmad Jauhari berkata, syarikat penerbangan baru itu akan menjadi model perniagaan baru untuk keuntungan yang lebih mampan dan memastikan tumpuan diberikan kepada keperluan unik para pengembara premium serantau.

"Dalam jangka panjang, ia akan terbang ke semua laluan domestik dan serantau yang diberi perkhidmatan oleh MAS hari ini," kata beliau lagi.

Tambahnya, MAS juga berhasrat untuk mewujudkan struktur pengurusan yang berasingan untuk memberi fokus kepada keperluan unik para pengembara premium serantau.

"Syarikat penerbangan baru ini akan menetapkan standard baru untuk kualiti produk dan perkhidmatan, kecekapan kos dan kecemerlangan operasi," kata beliau.

MAS, menurut Ahmad Jauhari, kini meninjau sekutu dan perkongsian dengan syarikat penerbangan lain menerusi keanggotaan OneWorld, antara tiga sekutu penerbangan global terbesar.

Syarikat penerbangan itu akan menjadi ahli penuh OneWorld menjelang suku ketiga 2012, kata beliau.

"Bersekutu dengan OneWorld akan meningkatkan faktor beban menerusi rakan trafik tambahan dan kesedaran jenama yang lebih baik.

"Ia juga akan memacu saling hubung hab bagi memudahkan pengembangan antarabangsa," kata beliau.

Dalam usaha mencapai saling hubung yang lebih hebat untuk para penumpang, MAS akan turut memanfaatkan kerjasamanya dengan rakan perniagaannya iaitu AirAsia dan AirAsia X, kata beliau.

Ditanya sama ada MAS merancang untuk menjadi sekutu dengan syarikat penerbangan Australia, Qantas, beliau berkata: "Kami bukan hanya bercakap dengan Qantas tetapi juga yang lain."

Pesawat baharu, juga akan merancakkan daya saing MAS, kata Ahmad Jauhari.

Ahmad Jauhari berkata fokus akan diberikan kepada segmen premium memandangkan pesawat baru akan lebih cekap dari segi penggunaan bahan bakar, kecekapan kos dan meningkatkan pengalaman pengguna.

Dalam hal ini, beliau berkata, MAS akan membelanjakan RM6 bilion ke atas pembelian pesawat baru menjelang 2012 yang turut membabitkan versi pesawat yang lebih baru seperti A380.

Beliau berkata, MAS akan mendapatkan pembiayaan hutang dan pengaturan pajakan termasuklah pembiayaan bersandarkan sukuk dan pasaran modal.

Ahmad Jauhari juga berkata, sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan semula, MAS akan memberi fokus kepada laluan-laluan Asean yang lebih menguntungkan.

"Kami sedang menimbang jika terdapat keperluan untuk menarik diri daripada laluan Eropah. Pada masa ini, kami turut meninjau jika kita boleh dapat bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain untuk destinasi Rom," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain