suria

Kesalahan Dadah: 616 Rakyat Malaysia Ditahan Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara pada Khamis diberitahu 616 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana terlibat dengan kesalahan dadah bagi tempoh lima tahun lepas.

Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata daripada jumlah itu, 449 dari kaum Cina, 104 Melayu, 50 India dan 13 lain-lain kaum.

"Mereka yang menjadi 'keldai dadah' ini telah ditahan di 13 negara iaitu Thailand (192 orang), Singapura (155), Republik Rakyat China (92), Indonesia (43).

"Taiwan (32), Australia (23), Sepanyol (20), Brazil (17), Jepun (10) dan masing-masing lapan orang di Brunei, Kemboja, Peru dan Venezuela," katanya menjawab soalan Senator Malasingam a/l Muthukumaru di sini .

Menjawab soalan tambahan Senator Mohd Khalid Ahmad, Kohilan berkata, Wisma Putra bekerjasama dengan bahagian narkotik Polis DiRaja Malaysia serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi membendung belia negara ini menjadi 'keldai dadah'.

"Melalui kerjasama berterusan ini, pelbagai kempen dan program kesedaran telah dan akan dijalankan bagi memberi kesedaran kepada golongan muda supaya tidak terjebak dengan sindiket ini.

"Wisma Putra baru-baru ini menerusi siaran langsung RTM (Radio Televisyen Malaysia) dalam segmen dialog 'keldai dadah' telah menasihati terutamanya ibu bapa dan wanita supaya tidak terjebak atau teraniaya dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain