suria

Kerajaan Komited Jayakan NKRA Perangi Rasuah:Musa

KOTA KINABALU: Kerajaan yang menggariskan usaha memerangi rasuah sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan terus meningkatkan iltizam dengan mengemaskini pelbagai polisi dan prosedur yang berkaitan selain mengukuhkan lagi bidang kuasa dan perundangan penguatkuasaan.

"Usaha memerangi rasuah dan menjayakan NKRA ini menuntut kerjasama, komitmen dan kesungguhan daripada semua pihak termasuk jabatan, agensi dan badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin dan rakyat di semua peringkat," kata Ketua Mentri Datuk Seri Musa Aman semasa berucap pada majlis Hari Terbuka NKRA Membanteras Rasuah 2011 bersama penjawat awam negeri Sabah di sini Khamis.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha berterusan dan inisiatif murni itu terutama memberi kefahaman yang jelas kepada orang ramai terutama penjawat awam akan bahaya jenayah rasuah.

Menurut beliau, berbekalkan komitmen menyeluruh dan usaha bersepadu, impak positif yang dihasilkan akan meningkatkan nilai integriti di kalangan penjawat awam bagi memastikan salah laku rasuah khususnya dalam sistem penyampaian perkhidmatan dan perolehan kerajaan dapat dikurangkan serta dibanteras sepenuhnya. - BERNAMA

Artikel Lain