suria

Kementerian Teliti Pengwujudan Skim Insurans Kesihatan Sosial

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang meneliti rancangan untuk mewujudkan skim insurans kesihatan sosial (SHI) dalam usaha memastikan pesara swasta dilindungi daripada sebarang risiko menghidapi penyakit kronik.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, skim yang berasaskan perkongsian kos dan risiko yang adil itu memberi peluang kepada semua golongan masyarakat untuk saling membantu tanpa mengira peringkat umur, termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik.

"Melaui skim ini, para pesara juga boleh mendapat rawatan di klinik dan hospital sama ada di sektor swasta mahupun kerajaan," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah.

Mohammed Najeeb ingin tahu mengenai langkah kerajaan dalam memastikan pesara swasta dilindungi dengan skim insurans kesihatan memandangkan kos perubatan dan rawatan semakin meningkat di samping risiko mendapat penyakit kronik pada usia persaraan.

Rosnah berkata, caruman untuk SHI pula akan melibatkan gabungan sumbangan daripada kerajaan, pihak majikan dan pekerja manakala pesara yang tidak berkemampuan akan mendapat bantuan pembiayaan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan skim di bawah program transformasi sistem kesihatan negara ini perlu dirancang dengan berhati-hati dan teliti agar dapat diterima pakai dan tidak membebankan rakyat pada masa akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain