suria

Industri Pertahanan Perlu Peka Terhadap Perubahan Landskap Keselamatan

LANGKAWI: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah industri pertahanan perlu lebih peka terhadap perubahan landskap keselamatan.

Titah baginda kepekaan itu akan membolehkan industri penting itu terus lebih ke hadapan dan kekal bersaing dengan perubahan-perubahan yang mendatang.

Ancaman keselamatan bukan tradisional seperti pengganas, dadah, pemerdagangan manusia dan bencana adalah cabaran tambahan kepada industri pertahanan, titah baginda di Hotel Four Season di Tanjung Rhu di sini pada Khamis sempena lawatan kerja baginda ke Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011.

Baginda bertitah LIMA yang diperkenalkan pada 1991 telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu platfom besar kepada industri pertahanan di rantau Asia Pasifik.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah, turut menyifatkan penganjuran LIMA sebagai pasaran global yang unik di mana industri berkaitan bersaing sesama mereka mempamerkan produk pertahanan berinovasi terkini.

Ia secara tidak langsung memberi pendedahan teknologi canggih dan sebagai hasil sampingan daripada pembangunan kolektif kemahiran, daya inovatif dan pembangunan industri pertahanan di peringkat global dan wilayah.

Titah baginda perkembangan pantas dalam industri pertahanan bagi benua Asia menjadi manifestasi kepada kepentingan sektor perindustrian pertahanan, bukan sahaja dari sudut pertahanan dan keselamatan tetapi juga kepentingan ekonomi.

Dalam mempromosikan lagi peluang ekonomi, baginda bertitah sektor pertahanan didapati perlu lebih agresif mengeluarkan produk bericirikan 'dual usage' yang boleh dibangunkan dan diadaptasi bagi membolehkannya lebih maju dalam pasaran awam.

Di samping itu, kerjasama untuk kegunaan pelbagai desakan pertahanan dari rantau ini mampu membuka laluan positif seperti kecekapan kos dan peningkatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara-negara tertentu.

Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berada di Langkawi sejak semalam bagi lawatan kerja ke LIMA 2011 dan menyaksikan pertunjukan udara dan pameran udara statik.

Antara tapak pameran statik yang baginda berdua lawati adalah NADI, Penerbangan Malaysia, MIGHT, Pavilion Itali, Thales, Eurocopter dan Airbus Military.

Turut mengiringi baginda pada lawatan itu ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron. - BERNAMA

Artikel Lain