suria

Dakwat Kekal Buktikan Pilihan Raya M'sia Telus

BESUT: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 membuktikan proses pilihan raya di negara ini telus dan tiada ruang untuk penipuan dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, keputusan untuk menggunakan dakwat kekal sebenarnya tidak perlu dilakukan di negara ini kerana setiap pengundi adalah terdiri daripada mereka yang berdaftar dan mempunyai kad pengenalan rasmi.

"Lainlah seperti negara-negara luar di mana mereka tidak mempunyai senarai daftar pengundi yang dikemas kini berbanding Malaysia," katanya.

Namun begitu, kata beliau, kerajaan mengikut kehendak pihak pembangkang yang mahukan dakwat kekal digunakan kerana sering membangkit perkara itu kepada umum.

Katanya lagi, kerajaan juga mahu membuktikan bahawa tiada penipuan dilakukan dalam proses pilihan raya di negara ini walaupun terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan RM5 juta bagi melaksanakan proses menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya, keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan pilihan raya dengan menggunakan kad pengenalan sebenarnya berkesan kerana dalam sejarah pilihan raya negara hanya berlaku satu sahaja kes penipuan mengundi dua kali dilakukan dengan menggunakan kad pengenalan.

Bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan akan meneliti desakan sesetengah pihak dalam isu penggunaan dakwat kekal yang dikatakan tidak sesuai digunakan oleh orang Islam kerana dakwatnya dikatakan kekal daripada dicuci untuk tempoh 48 jam.

Sementara itu, beliau berkata isu hudud yang ditimbulkan semula pembangkang terutama PAS sejak kebelakangan ini adalah kerana parti itu tidak mahu kehilangan undi daripada orang Melayu terutamanya di kalangan penyokong PAS sendiri.

Katanya, isu hudud dijadikan modal utama kerana yakin mereka dapat mempengaruhi orang Melayu yang kini semakin menjauhi PAS.

Beliau meminta PAS supaya tidak mempermain-mainkan isu agama kerana ia memalukan umat Islam yang tampak sentiasa berselisih antara satu sama lain berbanding pengikut agama-agama lain di negara ini.

"Islam adalah agama yang menyatupadukan umat Islam dan bukan dijadikan alat sebagai memecahbelahkan rakyat terutamanya yang tinggal di kampung-kampung," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain