suria

BN Telah Capai Politik Matang & Terima Apa Yang Jadi Pilihan Rakyat

CANBERRA: Kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional (BN) telah begitu matang dalam proses politiknya untuk menerima dan menghormati keputusan rakyat dan juga undang-undang walaupun ia tidak memihak kepadanya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sebagai contoh kekalahan BN dalam beberapa pilihan raya kecil jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak memanipulasi proses pilihan raya seperti yang didakwa oleh parti-parti pembangkang.

Muhyiddin berkata BN, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab selama 54 tahun, sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaannya.

"Jika anda berasa dalam beberapa hal, kerajaan memanipulasi keadaan sama ada melalui proses pilihan raya atau melalui agensi penguatkuasa yang lain, cuba bayangkan apa yang telah anda jangkakan. Mungkin ada masalah.

"Tapi, kita tidak begitu...kita memang terima (keputusan itu) kadang kala dalam pilihan raya, kadang kala dalam mahkamah undang-undang kerana kita telah begitu matang dalam proses politik. Kita terima keputusan walaupun ia tidak menyebelahi kita," katanya pada sesi soal-jawab selepas menyampaikan syarahan umum di Australian National University, di sini, Rabu.

Menjawab soalan lain, Muhyiddin berkata BN, walaupun tidak mahu menjadi pembangkang, tetapi ini bukan merupakan keputusan parti kerana pada akhirnya, undi rakyat yang akan menentukannya.

"Jika mereka merasakan BN masih yang terbaik, pada masa itu mereka akan mengundi untuk BN tetapi jika mereka memutuskan sebaliknya, seperti dalam kes negeri Selangor, saya percaya kita sudah cukup matang untuk menerima kenyataan itu.

"Tetapi, jika rakyat memutuskan sebaliknya, pada masa itu anda perlu menerimanya juga," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, turut ditanya mengenai komitmen Malaysia dalam menjamin pendidikan kekal sebagai satu daripada agenda utamanya.

Kata Muhyiddin, beliau percaya bahawa pendidikan merupakan satu cara untuk menggerakkan rakyat maju ke hadapan dan meletakkan mereka dalam kedudukan berpendapatan tinggi.

Malaysia, katanya, sejak dari mula lagi meletakkan kepentingan pendidikan dan dalam soal bajet, lebih daripada 26 peratus bajet negara dibelanjakan untuk pendidikan bagi peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi.

Menurut Muhyiddin, apabila Malaysia mencapai kemerdekaan, lebih daripada 60 peratus rakyatnya adalah miskin dan cara untuk mengeluarkan mereka daripada keadaan itu adalah melalui pendidikan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata pada masa ini, kerajaan sedang menjalankan kajian untuk menyemak semula keseluruhan sistem pendidikan bagi memastikan Malaysia bergerak ke hadapan dalam soal melaksanakan sistem dan program pendidikan yang boleh meningkatkan standard pendidikan negara.

Pada masa ini, dasar pelajaran dan undang-undang pelajaran negara dibuat berdasarkan kepada Laporan Razak yang dibentangkan kira-kira 40 tahun lalu.

"Tetapi ia telah pun 40 tahun berlalu. Saya percaya sekarang adalah masa yang sesuai untuk ia dikaji semula supaya sistem pendidikan kita boleh setaraf dengan negara-negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan Eropah," katanya.

Artikel Lain