suria

Bekas Pengerusi Koperasi Hadapi Tiga Tuduhan Bawah Akta Koperasi 1993

KLANG: Seorang bekas pengerusi sebuah koperasi pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan di bawah Akta Koperasi 1993.

Mohd Samsuri Jamiran, 57, meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Tertuduh yang semasa kejadian memegang jawatan pengerusi Koperasi Bina Jaya Kuala Selangor Berhad didakwa gagal menguruskan dan mengawasi urusan penggunaan wang bantuan koperasi berjumlah RM240,000 sebagaimana mengikut syarat dalam surat tawaran bantuan bertarikh 16 Jun 2009 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Mohd Samsuri juga didakwa gagal menguruskan dan mengawasi urusan penggunaan wang bantuan koperasi itu di mana penggunaannya tidak mendapat kelulusan mesyuarat Lembaga Koperasi.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di No: 42a, Jalan Bendahara 10/7, Taman Bendahara, Kuala Selangor antara 16 Jun 2009 sehingga 26 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Koperasi 1993 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohd Samsuri juga didakwa gagal mendedahkan kepentingan beliau dalam Syarikat Dargo Enterprise sedangkan syarikat itu telah dilantik sebagai pengeluar modal permulaan dalam projek cili yang dijalankan oleh Koperasi Bina Jaya Kuala Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada 7 Feb 2009.

Bagi kesalahan itu, Mohd Samsuri didakwa mengikut Seksyen 44B(1) Akta Koperasi dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum enam tahun, jika sabit kesalahan.

Koperasi Bina Jaya Kuala Selangor yang ditubuhkan pada 2008 telah ditutup selepas siasatan dijalankan oleh SKM.

Hakim Anita membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 serta seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 16 Jan depan untuk sebutan melantik peguam dan penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SKM Kamarulzaman Mohamad Buhari. - BERNAMA

Artikel Lain